Asnah Binte Hamid
Blok 453 Jalan Kasih
# 03 – 170
Singapura 651453
17 Ogos 2011
Pegawai Perhubungan Awam
Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA)
31, Mount Vernon Road
Singapura 368054
Tuan
Perkara: Aduan terhadap Penganiayaan dan Kematian Kucing-Kucing Terbiar
Merujuk kepada perkara di atas, saya selaku seorang pemilik kucing yang tinggal di estet perumahan Bedok ingin membuat aduan. Sejak kebelakangan ini, saya mendapati bahawa beberapa kucing menjadi mangsa aniaya dan keracunan. Kucing-kucing itu diberikan makanan dengan racun oleh penduduk-penduduk estet perumahan ini. Kucing-kucing yang mati juga diletakkan di mana-mana sahaja dan mengotorkan estet perumahan ini. Tambahan pula, saya mendapati bahawa beberapa kucing itu sebenarnya bukan kucing terbiar tetapi kucing peliharaan. Sebagai seorang pemilik kucing, insiden-insiden ini amat membimbangkan kepada diri saya kerana saya takut kucing saya akan dianiaya atau dibunuh.
Saya mengetahui tentang masalah ini sebab sebuah insiden yang berlaku minggu lepas. Apabila saya sedang berjalan pulang ke rumah daripada sekolah, saya berjumpa lebih daripada tiga kucing terbiar. Kucing-kucing itu semua sudah dianiaya atau dibunuh, dan diletakkan di sisi tempat jalan. Seekor daripada mereka ditikam dan berlumuran darah.
Penduduk-penduduk di estet perumahan ini sudah mengadu kepada pihak tuan beberapa kali untuk menangani masalah kucing-kucing terbiar ini. Kebanyakan kucing-kucing terbiar di estet perumahan ini semakin bertambah, dan kucing-kucing itu boleh dilihat di mana-mana sahaja. Ini menimbulkan beberapa masalah kerana kucing-kucing itu mengotorkan tempat sekeliling dengan najis. Kucing-kucing itu juga tidak bersih, dengan bulu yang kotor. Ini menyebabkan imej estet perumahan ini semakin menurun. Kucing-kucing itu juga mengganggu penduduk-penduduk estet perumahan ini kerana membuat bising pada waktu malam atau apabila mereka sedang mengawan.
Beberapa penduduk di estet perumahan ini ialah pemilik kucing seperti saya. Mereka berasa kasihan terhadap kucing-kucing terbiar itu dan meninggalkan makanan di kolong blok untuk mereka. Walau bagaimanapun, makanan yang ditinggalkan ini menimbulkan lebih banyak masalah kerana jikalau ia tidak dimakan, ia mengundang lalat dan serangga. Adakalanya, makanan yang ditinggalkan itu juga tidak bersih atau tidak sesuai untuk dimakan kucing.
Untuk melindungi kucing-kucing ini, pihak tuan mestilah mengambil tindakan. Perbuatan menganiaya kucing yang tidak berdosa ini amat kejam. Kucing-kucing ini mesti dianggap sebagai manusia juga – mereka tidak patut dianiaya atau dibunuh sahaja. Perbuatan seperti itu amat berdosa dan membentukkan masyarakat yang kejam dan tidak pedulikan binatang sahaja. Kita semua mesti berbaik hati terhadap semua binatang dan rasa belas insan terhadap mereka untuk membentukkan masyarakat yang berperikemanusiaan.
Pada pendapat saya, masalah ini mesti diselesaikan dengan secepat mungkin. Oleh itu, saya menyiapkan beberapa saranan untuk membantu pihak tuan dengan menangani masalah yang mencemaskan ini. Saranan yang pertama saya adalah untuk menetapkan sistem rondaan untuk kawasan estet perumahan ini. Pihak tuan patut mengambil kucing-kucing liar yang terdapat di estet perumahan untuk dipelihara SPCA.
Setelah mengambil kucing-kucing liar itu, pihak tuan boleh menawarkan mereka kepada orang lain yang mahu memelihara mereka. SPCA juga patut mengambil kucing-kucing yang baru dilahirkan dan tidak diingini oleh pemilik mereka. Notis boleh diletakkan di tempat awam untuk mempromosikan sistem ini kepada penduduk-penduduk estet perumahan ini. Jikalau semua kucing-kucing yang tidak diingini lagi menjadi peliharaan SPCA, kucing-kucing terbiar tidak akan lagi menimbulkan masalah.
Kempen untuk menyayangi binatang juga boleh dianjurkan. Kempen seperti ini boleh menyampaikan mesej untuk menyelamatkan kucing-kucing liar dan menyayangi semua binatang bagi memastikan masyarakat tidak menjadi kejam dan jahat terhadap binatang. Dengan kempen itu, SPCA juga boleh lebih mempromosikan program-program mereka yang sedia ada.
Sampai di sini sahaja yang dapat saya kongsi. Saya harap pihak tuan akan mempertimbangkan saranan-saranan saya dan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Jasa baik pihak tuan saya dahului dengan ribuan terima kasih.
Sekian, terima kasih.
Yang benar
Asnah
Asnah Binte Hamid
- Eri Aung (02) 11V11
27 Ogos 2011
0 comments:
Post a Comment